suria

Merafak sembah takziah... Pengiran Muda ‘Abdul ‘Azim anakanda Sultan Brunei mangkat

Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim mangkat pada usia 38 tahun.

ANAKANDA Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim telah mangkat pagi Sabtu, pada usia 38 tahun.

Almarhum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.08 pagi Sabtu.

Pengumuman kemangkatan itu dibuat secara langsung melalui televisyen di Brunei pada Sabtu.

"Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, dengan amat dukacita memaklumkan kepada seluruh rakyat dan penduduk negara Brunei Darussalam bahawa dengan takdir Allah Subhanahu Wataala, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah telah mangkat pada hari ini, Sabtu 7 haribulan Rabiulawal 1442 bersamaan 24 haribulan Oktober 2020 jam 10.08 pagi," menurut pengumuman itu yang turut dikongsikan di laman instagram @bruneiroyalfamily.

Pengumuman itu turut menyebut jenazah almarhum akan dimakamkan selepas solat Asar waktu Brunei di Makam Diraja pada Sabtu.

Menurut laporan, memetik sumber dari Brunei sebagai berkata bahawa almarhum sebelum ini dimasukkan ke hospital.

Almarhum Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim diputerakan di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 29 Julai 1982.

Almarhum juga adalah kekanda kepada Pengiran Abdul Mateen, 29, yang merupakan figura yang begitu dikenali di media sosial.

Selain mempunyai pendidikan di International School Brunei, almarhum juga menyambung pengajian di Raffles Institution dan Oxford Brookes University.

Seluruh rakyat dan penduduk di Brunei akan berkabung selama tujuh hari dan bendera dikibarkan setengah tiang bermula Sabtu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia