SERAMAI 27 orang terkorban selepas bas yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung dalam satu kejadian di Pulau Jawa, Indonesia pada Rabu malam. Difahamkan, bas tersebut membawa pelajar sekolah menengah serta ibu bapa mereka. Kesemuanya dalam perjalanan pulang daripada lawatan, demikian menurut kementerian pengangkutan negara berkenaan. Agensi yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, insiden itu berlaku apabila pemandu bas hilang kawalan ketika melalui sebuah kawasan berhampiran bandar Sumedang, wilayah Jawa Barat. Sementara itu menurut kementerian pengangkutan, seramai 39 penumpang bagaimanapun terselamat. Seorang pegawai agensi mencari dan menyelamat tempatan, Supriyono berkata misi mengeluarkan mangsa sudah selesai dan mangsa yang selamat dibawa ke hospital berdekatan. Bagaimanapun punca sebenar insiden masih belum dikenalpasti walaupun kementerian pengangkutan berkata terdapat petunjuk awal mengaitkan ia dengan ujian kelayakan kenderaan yang tidak dikemas kini. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!