DIDORONG rasa kurang yakin kerana mempunyai dahi yang lebar, seorang wanita akhirnya menjalani pembedahan bagi mengecilkan ukuran bahagian tersebut. Camilla Coleman Brooks, 26, berkata dia sebelum ini terpaksa menyembunyikan dahi luasnya yang berukuran 8.5 sentimeter (cm) dengan rambut selama lebih dua dekad. Dia yang juga seorang model dari Carolina Utara akhirnya menemui solusi kepada masalah tersebut iaitu dengan menjalani pembedahan. Ibu kepada dua anak itu menghabiskan £5,000 (RM28,680) untuk tujuan tersebut. Dia menjalani pembedahan di sebuah klinik di Cleveland, Ohio pada bulan lalu. Menerusi pembedahan tersebut, dahinya yang berukuran 8.5cm kini dikecilkan sebanyak 3cm. Camila berkongsi kisahnya menerusi video di TikTok yang mana berjaya meraih berjuta-juta tontonan. "Dahi saya dahulunya berukuran 8.5cm dan sekarang sudah 5.5cm. Ini adalah perbezaan yang luar biasa. "Dulu setiap kali melihat cermin, saya akan perasan betapa besarnya dahi dan akan selalu menutupinya dengan rambut. "Tidak ada yang membuli tapi saya lakukan pembedahan kerana saya sendiri yang tidak suka," katanya. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!