GARA-GARA sukar mendapatkan pekerjaan dan kehilangan tempat tinggal akibat pandemik Covid-19, seorang bekas banduan di Australia akhirnya menyerah diri selepas 30 tahun melarikan diri dari penjara. Banduan berkenaan dikenali sebagai Darko 'Dougie' Desic, 64, melarikan diri dari Pusat Pemulihan Grafton, New South Wales pada 1992, tiga tahun selepas dia dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan menanam ganja. Walaupun pihak berkuasa memperluaskan lokasi pencarian Desic, mereka gagal untuk mengesannya dan dia kekal menjadi buruan polis selama 29 tahun. Menurut laporan agensi berita ABC, Desic melarikan diri ke bahagian pantai utara Sydney dan bekerja sebagai buruh binaan dan bertukang untuk mencari sesuap nasi. Disebabkan statusnya sebagai bekas banduan, dia tidak pernah bercakap dengan sesiapa tentang masa lampaunya dan berjalan kaki ke mana sahaja kerana sukar mendapatkan lesen memandu. Malahan, Desic tidak pernah berjumpa doktor atau doktor gigi selama 29 tahun kerana bimbang identitinya akan terbongkar. Dia juga berasa semakin bimbang apabila wajahnya muncul dalam program Australia's Most Wanted, lalu Desic cuba sebaik mungkin untuk menyembunyikan identitinya. Malangnya, Desic sendiri tidak mengetahui statusnya sebagai buruan polis berakhir 20 tahun selepas dia melarikan diri dan pegawai imigresen negara itu turut menghentikan usaha mencarinya. Tambah laporan ABC, salah satu sebab utama Desic tekad melarikan diri dari penjara adalah dia takut untuk dihantar pulang ke negara asalnya, Yugoslavia dan dikenakan hukuman kerana enggan memasuki tentera. Pada Ahad, Desic memutuskan menyerah diri di balai polis Dee Why selepas dia memutuskan 'tinggal' di penjara selepas dihalau keluar dari rumah sewa baru-baru ini. Desic dikenakan hukuman penjara satu tahun dan satu bulan sebelum dia boleh memohon parol tetapi lelaki berkenaan turut berdepan hukuman maksimum selama tujuh tahun atas kesalahan melarikan diri. — Oddity Central Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI