SEORANG lelaki orang kelainan upaya (OKU) menarik perhatian warga Singapura selepas dilihat memandu sebuah kenderaan unik yang ditempah khas. Lelaki berkenaan yang menggunakan kerusi roda, membawa sebuah kenderaan motosikal yang diubah suai seperti sebuah kereta mini berwarna kelabu. VIDEO kenderaan terbabit yang tular di TikTok. Kenderaan milik lelaki itu turut tular di laman sosial TikTok selepas pemilik akaun, Rickyd21212 berkongsi tentang motosikal unik tersebut. Pemilik akaun berkenaan menemui kenderaan itu di Toa Payoh, Singapura. Ramai pengguna TikTok kagum dengan idea kreatif berkenaan dan memuji keunikannya. Ada juga yang mengatakan bahawa mereka sering melihat kenderaan itu dibawa seorang lelaki berusia di sekitar kejiranan Hougang, Singapura. Seorang individu yang mengaku mengenali pemilik kenderaan itu memberitahu bahawa kenderaan itu merupakan motosikal Gilera 200. "Ia adalah kenderaan yang ditempah khas dan menggabungkan motosikal dan badan kereta model Suzuki Swift. "Kenderaan ini boleh dipandu di jalan raya dan tidak menyalahi undang-undang," katanya. Sementara itu, terdapat juga satu laporan media yang berkongsi gambar pemilik kenderaan itu memandu kenderaan terbabit. Berdasarkan gambar itu, kenderaan tersebut direka bagi membolehkan pemandu mengendalikannya tanpa perlu turun dari kerusi roda.— Agensi Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI