SEORANG pemuda mati ditembak 13 kali selepas terlibat dalam satu pertempuran di antara dua kumpulan di Lozells, Bermingham pada 26 Ogos tahun lalu. Naasir Francis, 22, dibawanya ke hospital dengan kesan tembakan di perut sebelum dia disahkan meninggal dunia. Polis West Midlands mengeluarkan rakaman pertempuran senjata pada hari Jumaat. Teeko Le, 17 yang kini berusia 18 tahun, dipenjarakan sekurang-kurangnya 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh, cubaan membunuh dan memiliki senjata manakala Darnell Donovan-Harris, 23, didapati bersalah membunuh dan dipenjarakan selama 18 tahun. Seorang lagi anggota kumpulan lawan, Lawrence Morgan, 25, mengaku bersalah memiliki senjata api dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun. Mahkamah Mahkota Birmingham diberitahu bahawa sewaktu kejadian Le dan Donovan-Harris sedang berdiri di luar kedai di Lozells Road apabila Morgan dan Naasir berhenti dengan kereta Lexus putih mereka. Semasa Morgan dan Naasir keluar daripada kereta, mereka ternampak ahli kumpulan lawan dan bertindak melarikan diri dengan melompat ke dalam kereta rakan mereka. Mereka dikatakan pergi ke suatu alamat di mana mereka menyimpan senjata, sebelum kembali semula ke Lozells Road. Rakaman litar tertutup menunjukkan Morgan melepaskan tembakan ke arah kumpulan itu ketika sedang berbasikal sebelum dibalas semula oleh Le. Morgan berjaya naik semula basikalnya, manakala Naasir bersembunyi dalam kereta Lexus mereka. Ketika Le dan Donovan-Harris mengejar Morgan, mereka ternampak Naasir sedang duduk di sebelah pemandu kereta dan mula menumbuknya. Le kemudian melepaskan tembakan ke arah Naasir. Pasangan itu kemudian melarikan diri, meninggalkan Naasir dengan kecederaan parah. Analisis rekod telefon dan CCTV meletakkan setiap suspek di tempat kejadian. Ketiga-tiga mereka berjaya ditahan beberapa hari kemudian.Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI