SEBAGAIMANA yang ramai sedia maklum, majlis perkahwinan di India tidak lengkap tanpa muzik dan tarian. Walaupun muzik yang rancak dan kuat membuatkan para tetamu terhibur, namun ia dalam masa yang sama menjadi gangguan kepada pihak lain. Dalam satu insiden yang jarang-jarang berlaku, seorang penternak mendakwa 63 daripada ayamnya mati akibat muzik yang kuat dimainkan semasa majlis perkahwinan jirannya. Insiden itu dilaporkan di daerah Balasore Odisha, di mana pemilik ladang ayam, Ranjit Parida mendakwa lebih 60 ekor ayam di ladangnya mati akibat serangan jantung, berpunca daripada muzik kuat yang dipasang sewaktu majlis perkahwinan berlangsung di kampungnya. Malah majlis tersebut juga 'diserikan' dengan letupan kuat mercun. Parida malah mendapatkan pandangan doktor haiwan tempatan, dan dia berkata bunyi yang kuat itu telah menyebabkan ayam-ayam berkenaan terkejut. Penternak tersebut kemudian meminta pampasan daripada jirannya. Bagaimanapun, jirannya enggan berbuat demikian dan menyifatkan dakwaannya tidak berasas. Parida kini telah membuat laporan di balai polis dan perkara itu sedang disiasat. - India.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI