suria

Gara-gara Covid-19, pulau peranginan terkenal di Indonesia berubah suram... pengusaha hotel, restoran gulung tikar

Gili Trawangan sunyi daripada kunjungan pelancong. Foto: AFP

PANDEMIK Covid-19 mengakibatkan hampir semua pusat peranginan dan restoran gulung tikar di seluruh kepulauan Gili di Indonesia, yang terkenal dengan laut biru, pantai pasir halus dan hidupan marin yang pelbagai.

Terletak berhampiran Bali, lokasi pelancongan dan ekonomi tempatan sebelum ini berkembang pesat, dengan sekitar 1,500 pelancong asing mengunjungi Gili Trawangan setiap hari.

Bagaimanapun apabila pihak berkuasa Indonesia menguatkuasakan perintah berkurung Covid-19 di seluruh negara untuk pertama kali pada Mac 2020 dan kemudian menutup sempadan kepada pelawat antarabangsa, pengusaha restoran dan hotel tidak mampu lagi terus menanggung kerugian perniagaan.

Tiga pulau Gili - Trawangan, Meno dan Air sememangnya bergantung kepada pelancong asing.

Terdapat sekitar 800 hotel dengan 7,000 bilik tetapi hanya antara 20 dengan 30 tempat penginapan yang masih dibuka, menurut Lalu Kusnawan, Pengerusi Persatuan Hotel Gili, yang mengendalikan sebuah pusat peranginan di Trawangan.

Kedai, bar, kafe dan restoran semuanya lengang dengan ada yang dilelong, manakala perabot-perabot dilitupi habuk dan sarang labah-labah.

Kakitangan yang bekerja di sana dipaksa untuk mencari jalan lain bagi menyara hidup dengan di antara mereka akhirnya memancing demi memberi sesuap makan kepada keluarga masing-masing. - CNA

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain