NEW Zealand bercadang untuk melarang golongan muda daripada membeli rokok seumur hidup mereka, dalam salah satu tindakan keras paling sukar di dunia terhadap industri tembakau. Pemerintah memberi alasan bahawa usaha-usaha lain untuk membasmi tabiat buruk itu mengambil masa terlalu lama. Penduduk yang berusia 14 tahun ke bawah pada 2027, apabila undang-undang itu berkuat kuasa, tidak akan dibenarkan sama sekali untuk membeli rokok di sisi undang-undang. Dalam pada masa sama, negara itu akan mengurangkan tahap kandungan nikotin dalam semua rokok yang dijual. "Kami mahu memastikan golongan muda tidak merokok, jadi kami akan menjadikannya satu kesalahan untuk menjual atau membekalkan produk tembakau kepada belia," kata Menteri Bersekutu Kesihatan New Zealand Ayesha Verrall dalam satu kenyataan. Pemerintah akan berunding dengan pasukan bertindak kesihatan Maori dalam beberapa bulan mendatang sebelum membentangkan undang-undang itu di Parlimen pada Jun tahun depan. Ia bertujuan menguatkuasakannya sebagai satu undang-undang menjelang hujung 2022. Langkah itu menyusuli Bhutan di mana penjualan rokok diharamkan sama sekali. - Reuters Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI