suria

Wanita kurung diri 5 jam dalam tandas pesawat setelah disahkan positif Covid-19

Fatieo perjalanan ke Switzerland bersama bapa dan saudara lelakinya.

SEORANG penumpang dalam penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) ke Iceland sanggup mengurung dirinya di dalam tandas pesawat selama lima jam selepas beliau diuji positif Covid-19 sewaktu dalam perjalanan itu.

Marisa Fotieo merakamkan pengalamannya menerusi sebuah video TikTok yang meraih lebih 4 juta tontonan.

Wanita itu dilihat berada dalam sebuah ruang tandas yang sempit dan memakai beberapa lapis pelitup muka.

Fotieo, seorang guru, memberitahu CNN beliau menaiki pesawat Icelandair dari Chicago ke Reykjavik pada 19 Disember lalu.

Beliau dalam perjalanan ke Switzerland bersama bapa dan saudara lelakinya.

Sebelum penerbangan, wanita itu melakukan dua ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dan lima ujian pantas antigen (ART) - kesemuanya negatif.

Selepas sejam berada di dalam pesawat tersebut, beliau mula berasa sakit tekak, menurut laporan itu.

Fotieo kemudian mengambil satu lagi ujian ART dan ia menunjukkan hasil positif.

"Pramugari pertama yang saya terserempak ialah Rocky. Saya menjadi tidak keruan, saya menangis.

"Saya bimbang tentang keluarga saya yang baru sahaja makan malam bersama saya. Saya risau untuk orang lain yang berada di pesawat itu. Saya sendiri berasa cemas," katanya

Menurut NBC News, Fotieo memilih untuk terus mengasingkan diri di dalam tandas tersebut sepanjang tempoh penerbangan. Sekeping nota ditampalkan pada pintu tandas untuk menyatakan ia tidak berfungsi.

Fotieo berkata beliau berjaya melalui penerbangan itu atas bantuan pramugari yang menghantarkan makanan serta minuman kepadanya.

Sebaik sahaja pesawat itu mendarat di Reykjavik, Fotieo dibawa ke sebuah hotel Palang Merah di mana beliau menjalani kuarantin selama 10 hari.

Beliau telahpun divaksin dan juga sudah mendapatkan suntikan dos penggalak. - Berita MediaCorp

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Covid-19, positif, penerbangan, tandas

Artikel Berikut

Artikel Lain