SEORANG lelaki yang bernama Kovid mendapat perhatian luar biasa di media sosial gara-gara namanya yang unik. Apabila dunia dilanda virus Covid-19, Kovid Kapoor, seorang pengasas bersama sebuah laman perancang pelancongan, Holidify, menggunakan Twitter untuk mengeluarkan penafian (disclaimer) berbunyi "Nama saya Kovid dan saya bukan virus" di profilnya. Menerusi laman sosial itu juga, Kovid berkongsi pengalamannya mengembara ke luar India buat kali pertama sejak bermulanya wabak itu dan berkata ramai yang terhibur dengan namanya. Tidak menyangka ciapannya mendapat perhatian, Kovid berkata dia memanfaatkan situasi tersebut sebagai peluang untuk berjenaka. Ahli perniagaan berusia 31 tahun yang berpangkalan di Bengaluru itu mengakui menjalankan perniagaan pelancongan dalam suasana pandemik merupakan satu 'mimpi ngeri' tetapi jenakanya membantu untuk mengembalikan mood. "Kami melalui banyak tekanan untuk menguruskan syarikat, dan kini kami melihat gelombang lain yang baru bermula. Saya sering memulakan panggilan bersama orang baharu dengan jenaka singkat tentang nama saya!" katanya. Menyedari ciapannya meraih perhatian ramai, Kovid juga berkongsi kenangan lucu, termasuk namanya dieja #Covid-30 pada kek hari jadinya. "Apabila saya tiada mood untuk berbual-sambil minum kopi, menempah tempahan meja di restoran, saya menggunakan nama palsu iaitu Kabir Kapoor, supaya mereka tidak ada peluang untuk bercakap mengenainya," kata Kovid lagi. Dalam bahasa Hindi dan Sanskrit, Kovid bermaksud seorang yang cerdik atau individu terpelajar. - Indianexpress.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI