SEORANG remaja China yang dijual ketika masih bayi dan dilaporkan disisihkan sekali lagi oleh ibu bapa kandung dalam satu pertemuan baru-baru ini, telah meninggal dunia. Dilaporkan, Liu Xuezhou dikatakan membunuh diri, dalam satu kejadian di wilayah Hainan pada pagi Isnin. Kisahnya menggemparkan China dan mencetuskan rasa simpati. Remaja berusia 17 tahun itu mula menjadi perhatian di negara itu selepas dia menyiarkan video meminta bantuan untuk mencari keluarga kandungnya. Menurut laporan media, Liu dijual oleh ibu bapa kandungnya pada 2005 dan diambil sebagai anak angkat oleh keluarga lain. Bagaimanapun, ibu bapa angkatnya kemudian meninggal dunia akibat kemalangan, dan Liu menghabiskan sebahagian besar hidupnya bersama datuk dan nenek serta saudara-mara. Pada Disember tahun lalu, remaja berusia 17 tahun itu berjaya menjejaki ibu bapa kandungnya selepas melakukan misi pencarian secara dalam talian. Pada mulanya Liu berkongsi kegembiraan itu menerusi media sosial, tetapi sebaliknya berlaku apabila dia dilaporkan mendakwa dirinya memerlukan bantuan kewangan. Kata Liu, dia meminta ibu bapanya sama ada boleh tinggal bersama mereka, atau membeli atau menyewa rumah untuknya kerana dia tidak mempunyai rumah sendiri. Namun, dia mendakwa dirinya disisihkan oleh ibu bapa kandung, termasuk dakwaan ibunya menyekatnya di aplikasi mesej WeChat. Ibu bapa kandungnya bagaimanapun menafikan perkara tersebut, di mana ibunya menjelaskan bahawa Liu cuba memaksa untuk membelikannya rumah, sedang dia tidak mampu. Liu berkata mahu menyaman ibu bapa kandung kerana mengabaikannya. Remaja itu kemudian dilaporkan menjadi mangsa buli siber, dengan ramai yang mengatakan dia hanya mahukan rumah berbanding ibu bapanya, selain dan cuba meraih simpati. - BBC Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI