suria

Mahu curi duit RM58,300 dalam kereta, pencuri tersilap ambil beg berisi lampin

Seorang pencuri bertindak memecahkan cermin sebuah kereta. - gambar hiasan

SEORANG pencuri yang mahu mencuri wang berjumlah 200 juta rupiah (RM58,300) dalam sebuah kereta, berputih mata apabila mengambil satu beg plastik mengandungi lampin pakai buang.

Insiden berlaku selepas suspek bertindak memecah cermin sebuah kereta di Jatibarang di Indonesia, pada Khamis.

Ketua Polis Jatibarang, Kompol Ujang Rohimin, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, suspek memecahkan cermin sebuah kereta milik seorang ibu yang diletakkan di sebuah premis.

Kejadian itu membuatkan pemilik kereta panik kerana menyimpan 200 juta rupiah (RM58,300) dalam beg warna hitam dalam kenderaannya.

"Setelah menerima laporan, anggota polis segera melakukan siasatan di lokasi kejadian dan memeriksa barang-barang di dalam kereta.

"Bagaimanapun setelah diperiksa, suspek didapati mengambil beg plastik berisi lampin, manakala wang 200 juta rupiah (RM58,300) ditemui di tempat duduk belakang kereta berkenaan," katanya kepada Tribuncirebon.com, Jumaat.

Beliau berkata, suspek masih dalam siasatan polis. - Kompas

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain