SEORANG wanita dibelasah suaminya dan 15 lelaki lain kerana dituduh berlaku curang dan menjalinkan hubungan sulit. Dalam kejadian di perkampungan Madhya Krishnapur di Bengal Barat, India, wanita itu tidak sedarkan diri selepas cedera dipukul kumpulan lelaki berkenaan. Ketika kejadian, dia dipukul secara terbuka dan turut disuruh berkahwin dengan kekasih gelapnya. Kejadian itu berlaku pada malam 16 April lalu, ujar polis tempatan. "Kami akan menghantar satu pasukan menemui mangsa untuk mengetahui kejadian sebenar. "Polis belum menerima sebarang aduan bertulis lagi, tetapi akan ada siasatan berhubung dakwaan kejadian itu," ujar pegawai polis, Sonacharan Jamatia kepada agensi berita Press Trust of India. Difahamkan, suami wanita itu mengetuai sekumpulan 15 lelaki ke sawah sambil menuduh mangsa mempunyai hubungan luar nikah dan mula membelasahnya sehingga dia tidak sedarkan diri. Lelaki itu dilaporkan mengaku kepada media tempatan bahawa dia dan ahli keluarganya membelasah mangsa kerana didakwa mempunyai hubungan dengan lelaki lain, yang berasal dari kampung yang sama dengan mereka. "Selepas kejadian itu, saya membawanya ke hospital Teliamura untuk rawatan dan saya bermalam di sana. Polis melawat kediaman saya," ujar suami wanita itu, Dalam pada itu, Pengerusi Barnali Goswami dari Suruhanjaya Tripura untuk Wanita (TCW) peringkat negeri turut mengecam insiden yang berlaku itu. - Daily Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI