suria

Reka cerita diculik tapi tinggal bersama bekas kekasih, wanita akhirnya dicerai suami... Berdepan hukuman penjara 25 tahun

Papini didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada ejen FBI dan berdepan hukuman penjara 25 tahun jika sabit kesalahan.

WANITA California yang mencetuskan pencarian besar-besaran oleh polis pada 2016 apabila memalsukan penculikannya sendiri, telah diceraikan oleh suaminya hanya beberapa hari selepas dia mengaku melakukan penipuan itu.

Sherri Papini berkata dia 'sangat malu' dengan tindakannya selepas didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada ejen FBI.

Dia kini berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu pada November 2016, Papini dilaporkan hilang semasa sedang berjoging.

Selepas beberapa lama kehilangan Papini, suaminya Keith, menggunakan fungsi 'Find My Phone' untuk mengesan lokasi telefon bimbit dan fon kepalanya yang kemudian ditemui dibuang di tepi jalan.

Apabila telefon Papini diperiksa, polis mendapati nombor dua lelaki berada dalam kenalannya dengan menggunakan nama samaran.

Selepas siasatan terperinci dilakukan, penipuan Papini terbongkar di mana dia rupa-rupanya tinggal bersama bekas teman lelaki, James Reyes sepanjang tempoh dia hilang.

Papini memberitahu polis bahawa dia diculik oleh dua wanita Mexico yang merancang untuk menjualnya sebagai hamba seks kepada seorang lelaki yang tidak dikenali.

Bagaimanapun ternyata penipuan itu tidak menjadi apabila polis menemui DNA bekas teman lelaki Papini pada pakaiannya.

Selepas penipuannya terbongkar dan Papini sendiri mengakui perbuatannya, Keith memfailkan penceraian pada 20 April lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 2009 dan mempunyai dua anak yang berusia lapan dan 10 tahun. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain