suria

Menyamar jadi lelaki selama 36 tahun demi keselamatan anak tunggal perempuan, wanita ini mahu kekal sebagai ‘Muthu’

Petchiammal mengubah penampilan diri dan identitinya seperti lelaki sejak 36 tahun lalu. Foto: TNIE

SEORANG wanita nekad mengubah penampilan dirinya seperti lelaki selama 36 tahun, demi memastikan anak tunggal perempuannya membesar dengan selamat.

Menurut laporan New Indian Express, perubahan Petchiammal, 57, bertitik tolak selepas suaminya, Siva, meninggal dunia hanya 15 hari selepas mereka berkahwin.

Petchiammal berusia 20 tahun ketika itu dan tidak lama kemudian melahirkan seorang anak perempuan, Shanmugasundari.

Sejak kematian suami, wanita itu membanting tulang untuk menyara dan membesarkan anak tunggalnya.

Dia pernah bekerja di tapak pembinaan, hotel dan kedai teh namun kerap mengalami gangguan di tempat kerja yang didominasi oleh kaum lelaki.

Sekian lama berdepan dengan diskriminasi dan gangguan seksual, Petchiammal mengambil keputusan untuk bertukar menjadi 'lelaki'.

Bukan sekadar penampilan, malah Petchiammal menukar namanya dan mahu dikenali sebagai Muthu.

"Hanya saudara terdekat dan anak perempuan saya tahu bahawa saya seorang wanita," katanya yang menetap di Kattunayakkanpatti, Tamil Nadu, India.

Anak tunggal Petchiammal iaitu Shanmugasundari kini sudah berumah tangga malah keadaan ekonomi keluarga mereka juga semakin stabil.

Sungguhpun begitu Petchiammal berkata dia belum bersedia untuk menukar kembali identitinya kepada seorang wanita.

Ujar wanita tersebut, dia mahu mengekalkan identitinya sebagai 'Muthu' selama-lamanya. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain