INSIDEN pekerja syarikat kurier yang 'buat hal' sudah acap kali tular di media sosial. Bukan sahaja di Malaysia, malah ia turut dilaporkan berlaku di luar negara. Kali ini, seorang pelanggan wanita meluahkan rasa kecewa apabila pekerja penghantaran selamba membaling barangan miliknya ke hadapan pintu rumah. Lebih parah, sikap pemalas pekerja lelaki tersebut turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV). Dalam video itu, lelaki berkenaan yang lengkap memakai pakaian seragam syarikatnya hanya berdiri di hadapan pagar sebelum membaling kotak ke hadapan pintu rumah penerima. "Jiran saya nampak bungkusan itu di atas lantai, dia kata pekerja penghantaran lempar begitu sahaja," kata Jorja Hunt yang berusia 24 tahun. Kata Jorja, dia kecewa dengan sikap yang ditunjukkan lelaki itu dalam kejadian pada Rabu lalu. Namun, mujurlah bungkusan miliknya tidak mengalami sebarang kerosakan. Dalam pada itu, syarikat penghantaran DPD tampil membuat permohonan maaf atas insiden yang berlaku ke atas wanita itu. "Kami sangat mengutamakan pelanggan. Sikap yang ditunjukkan tidak patut ada dalam syarikat kami. "Kami sedang membuat siasatan dan akan ambil tindakan," ujar wakil syarikat penghantaran itu. - Daily Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI