suria

‘Ibu’ muda kongsi kesibukan rutin harian... Bangun 4 pagi setiap hari sediakan makanan, urus 34 anak

Tusayiwe Mkhondya menggunakan platform TikTok untuk berkongsi aktiviti hariannya menguruskan 34 penghuni rumah perlindungannya.

SEORANG wanita muda di Malawi meraih pujian warga maya kerana usahanya membangunkan sebuah rumah perlindungan bagi membela nasib anak-anak yatim dan miskin.

Tusayiwe Mkhondya, 23, mula dikenali ramai kerana menggunakan platform TikTok untuk berkongsi rutin hariannya yang begitu sibuk sebagai 'ibu' kepada 34 orang anak.

Dalam satu video di aplikasi berkenaan, Tusayiwe berkongsi rutin hariannya yang bermula seawal pukul 4.00 pagi iaitu menyediakan makanan untuk semua penghuni rumah perlindungan berkenaan.

"Saya perlu memberi mereka makan dan juga menukar lampin mereka. Saya juga perlu bersiap untuk bekerja dan bersedia untuk tugasan keesokan harinya," katanya.

Tusayiwe mengasaskan rumah tersebut selepas dia sendiri pernah menjalani kehidupan yang sukar sebagai seorang ibu tunggal gelandangan pada usia 18 tahun.

"Penghuni di sini ada yang yatim piatu, ada yang hanya mempunyai seorang ibu atau bapa, ada yang mempunyai kedua-dua ibu bapa tetapi telah ditinggalkan. Saya juga menyediakan pendidikan dan kemahiran buat mereka," katanya.

Tusayiwe membuka organisasi sendiri, You Are Not Alone (Yana) dan mengalu-alukan kanak-kanak dari umur lima bulan hingga umur 16 tahun untuk menjadi penghuni rumah perlindungannya.

Rumah tersebut turut dibiayai hasil sumbangan daripada pengikutnya yang mengumpul dana di GoFundMe. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain