suria

Pencipta manga Yu-Gi-Oh! meninggal dunia, mayat terapung di perairan Jepun

Mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di Laut China Timur.

PEMINAT siri animasi manga Yu-Gi-Oh! memberi penghormatan kepada penciptanya Kazuki Takahashi, yang mayatnya ditemukan terapung di lautan Jepun pada 6 Julai.

Lelaki berusia 60 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di Laut China Timur oleh pengusaha perniagaan riadah marin, kira-kira 300 meter dari pantai bandar Nago di Pulau Okinawa.

Untuk rekod, Takahashi melancarkan Yu-Gi-Oh! pada tahun 1996 dalam majalah Weekly Shonen Jump yang mana ia disiarkan sehingga 2004, menjual lebih 40 juta salinan.

Ia juga melahirkan siri televisyen anime, serta permainan kad dagangan dengan Takahashi menerima anugerah Inkpot daripada Comic-Con International pada 2015 atas sumbangan cemerlangnya kepada dunia komik.

Takahashi telah bercuti sendirian di Pulau Okinawa dan kurang dua jam sebelum mayatnya ditemui, polis menerima panggilan daripada syarikat penyewaan kereta, mengatakan bahawa dia tidak memulangkan kenderaan dan mereka tidak dapat menghubunginya.

Kereta itu kemudiannya ditemui diletakkan berhampiran pantai di bandar Onna, kira-kira 12 kilometer (km) dari tempat pengawal pantai menemui mayatnya.

Tiada punca rasmi kematian masih dinyatakan tetapi saluran media TBS melaporkan bahawa Takahashi mempunyai luka seperti gigitan di perut dan bahagian bawah badannya. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain