SEORANG pelancong Amerika berdepan pertuduhan di Itali selepas terjatuh ke dalam kawah Gunung Vesuvius ketika cuba mendapatkan semula telefon bimbitnya. Lelaki berusia 23 tahun itu bersama tiga saudaranya masuk ke kawasan pelancongan berkenaan melalui laluan haram tanpa membayar tiket pada 9 Julai lalu. Mereka tidak menggunakan laluan yang dibenarkan, sebaliknya mengambil jalan pintas melalui kawasan larangan untuk naik ke puncak gunung berapi setinggi 1,280 meter itu. Menurut laporan media tempatan, pelancong itu mengeluarkan telefon untuk merakam swafoto ketika berada di puncak gunung. Malangnya telefon itu terlepas dari genggaman sebelum jatuh ke dalam kawah gunung berapi. Dalam usaha untuk mendapatkan telefon itu, lelaki berkenaan turut terjatuh ke dalam gunung berapi. Namun dia hanya mengalami luka kecil dan lebam di lengan dan belakangnya. Pekerja penyelamat turun ke dalam kawah untuk menyelamatkan pelancong berkenaan. Pelancong itu dan tiga saudaranya, bersama dua individu lain akan didakwa atas kesalahan menceroboh. Untuk rekod, Vesuvius adalah gunung berapi paling terkenal di Eropah. - Daily Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI