SEORANG lelaki Utah ditahan kerana memulakan kebakaran hutan gara-gara cuba untuk membakar seekor labah-labah menggunakan pemetik apinya. Bercakap kepada pihak berkuasa, Cory Allan Martin, 26, berkata dia melihat labah-labah itu pada Isnin ketika berada di kawasan mendaki di kaki bukit di selatan Salt Lake City, berhampiran bandar Springville. Dia mengakui memulakan kebakaran, tetapi tidak menjelaskan mengapa dia cuba membakar labah-labah berkenaan. Syerif Daerah Utah, Spencer Cannon berkata pihaknya menemui satu balang mengandungi ganja dalam barang yang dimiliki lelaki itu. Menurut beliau, lelaki tersebut bagaimanapun tidak berada dalam pengaruh dadah. "Tidak ada bukti yang menunjukkan dia sengaja memulakan kebakaran," kata Cannon namun menyifatkan ia sebagai tindakan yang melulu. Pada masa ini, lokasi kejadian dan sebahagian besar Utah berada di tengah-tengah keadaan kemarau yang melampau. "Apa yang menyebabkan dia berhenti dan melihat labah-labah dan memutuskan untuk cuba membakarnya, kami tidak tahu. "Mungkin tidak ada sebabnya. Dia mungkin tidak tahu sebabnya," tambah Cannon. Martin ditahan kerana disyaki membakar secara melulu dan memiliki ganja serta peralatan dadah. Menurut jabatan bomba, tindakan Martin menyebabkan kebakaran besar-besaran sehingga merebak ke atas bukit pada Isnin. Bagaimanapun, tiada kemusnahan kediaman dalam kejadian itu. - India.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI