suria

Kucing hilang 9 bulan akhirnya pulang ke rumah, rupanya tinggal bersama jiran

Kucing bernama Williow kembali pulang selepas hilang sembilan bulan. foto Iris Kaye-Smith

TENTUNYA sedih apabila hilang kucing kesayangan.

Willow, seekor kucing yang dianggap mati, mengejutkan pemiliknya apabila ia muncul semula selepas sembilan bulan, semasa final Euro pada Ahad.

Namun apa yang lebih mengejutkan adalah keluarga itu kemudian menyedari kucing mereka yang hilang selama ini tinggal berdekatan bersama jiran mereka.

Bercakap kepada Mirror, Iris Kaye-Smith, 24, berkata kucing peliharaan keluarganya itu hilang dari rumah mereka di Bristol, England, pada tahun lepas.

Jelasnya, selepas seekor lagi kucing mereka, Harry, mati pada musim luruh lepas, Willow tiba-tiba hilang.

Berita mengenai penemuan kucing betina itu diterimanya pada hujung minggu lalu menerusi panggilan daripada ibunya.

"Berat badan dia tak susut, keadaan bulu juga sempurna, jadi kami fikir dia mesti tinggal di tempat lain," kata Iris.

Misteri keberadaan kucingnya akhirnya terjawab selepas Willow pergi berjalan-jalan keesokannya, dan dia dapat mengesan ke mana ia pergi.

Rupa-rupanya kucingnya mempunyai 'rumah kedua' di rumah jiran di jalan yang sama. - Mirror

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain