MESKIPUN tidak dapat diselamatkan akibat kecederaan parah di kepala, kanak-kanak berusia 16 bulan menjadi 'hero' apabila dapat membantu dua pesakit kronik menjalani kehidupan seperti biasa. Ia susulan pemindahan organ buah pinggang dan hatinya kepada dua kanak-kanak terlibat berjaya dilakukan. Menurut doktor AIIMS, kanak-kanak tersebut dibawa ke hospital dengan keadaan cedera parah di kepala pada 17 Ogos lalu dan disahkan kematian otak pada 25 Ogos. Ekoran kecederaan serius dan tidak dapat diselamatkan itu, ibu bapa mangsa membuat keputusan untuk mendermakan organnya kepada kanak-kanak lain. Perkara itu dimaklumkan Dr Manjunath Pol yang bertindak sebagai doktor bedah bagi pemindahan organ antara kedua-dua pesakit. "Pembedahan pemindahan organ dilakukan pada hari sama yang mana buah pinggangnya diberikan kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang telah menjalani dialisis. "Walaupun ia bukanlah perkara baharu dalam kalangan orang dewasa, namun pemindahan organ membabitkan kanak-kanak amat jarang berlaku. "Tambahan pula ia melibatkan salur darah yang kecil dan halus... perlu penelitian dalam proses pembedahan," katanya. Malah Dr Manjunath mengakui dia turut berhadapan kesukaran untuk mendapatkan peralatan pembedahan yang kecil dan sesuai dengan saiz pesakit. Selain itu, antara cabaran lain yang dihadapi adalah mengawal kadar kehilangan darah dalam badan pesakit. - New India Express Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI