AKIBAT terlampau leka bersolek, seorang wanita didakwa membunuh anak saudaranya selepas bayi terbabit didapati lemas di bilik air. Kayleigh Kerr didakwa dengan kesalahan membunuh Logan Cruickshanks di sebuah rumah di Easterhouse, Glasgow pada Ogos 2018. Pendakwa raya mendakwa Kerr melulu meletakkan kanak-kanak berusia 10 bulan itu di tempat duduk mandi bayi sebelum menambah 'jumlah berlebihan' air yang melanggar panduan keselamatan. Suspek berusia 25 tahun itu juga didakwa berulang kali meninggalkan Logan tanpa pengawasan dan kawalan. Mahkamah Tinggi di Glasgow mendengar bahawa Logan lemas dalam bilik air. Kerr menghadapi pertuduhan alternatif di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana dengan sengaja mengabaikan Logan pada hari kejadian. Ibu Kerr, Agnes Kerr, 49, memberitahu juri dalam keterangannya bahawa mereka tinggal bersama Logan. Agnes menyatakan dia sedang tidur pada pagi kematiannya apabila Kerr tiba-tiba menjerit sehingga membangunkannya. Katanya, dia tidak mengetahui punca jeritan pada awalnya dan hanya menyedari selepas teringat kata-kata Kerr yang meninggalkan Logan di dalam bilik air selama dua saat. - Mirror.co.uk Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI