BAHANG Piala Dunia 2022 Qatar semakin dirasai selepas ia dijadualkan berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember ini. Pertama kali dianjurkan di Dunia Arab iaitu negara yang mempunyai majoriti Muslim, pastinya pelbagai perkara diberi perhatian oleh peminat tegarnya yang bakal menyaksikan perlawanan secara langsung. Menerusi laporan Mail Online, poster kapten England, Harry Kane setinggi 30 kaki (9 meter) dilihat mewarnai bangunan pencakar langit di tengah Doha. Ia menjadikannya bahagian dominan dalam landskap visual di jalan ke pusat media Piala Dunia, di mana setiap sidang akhbar pra-perlawanan akan diadakan semasa kejohanan. Selain itu, Luis Suarez, Luka Modric, Virgil van Dijk dan Sadio Mane adalah antara 13 pemain yang turut 'dipamerkan' di sekeliling bangunan. Malah dikatakan, bintang bola sepak akan digambarkan oleh negara tuan rumah di mana-mana sahaja, seperti slogan kejohanan, 'Now Is All'. Bagaimanapun, penyokong luar yang bakal memasuki negara tersebut diingatkan supaya lebih berhati-hati kerana terdapat fasiliti yang khusus untuk keluarga dan wanita sahaja meskipun mereka berpeluang menaiki Metro secara percuma. Bagi aspek penempatan pula, Persatuan Penyokong Bola Sepak (FSA) menzahirkan kebimbangan berikutan 80 peratus hotel utama di Doha telah diambil oleh FIFA. Vila dan pangsapuri termurah yang berharga sekitar £70 (RM364) semalam juga sudah penuh. Namun dijangkakan 20,000 lagi bilik akan tersedia dalam beberapa minggu akan datang, terdapat tergesa-gesa untuk menyelesaikannya tepat pada masanya. Terdahulu, Piala Dunia 2022 Qatar dengan slogan 'Now Is All' akan berlangsung di lapan stadium rasmi di Qatar melibatkan 32 negara. - Daily Mail Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI