suria

YouTuber terkenal ditahan, terlibat nahas korbankan enam individu

Amado Amir Gonzalez ditahan kerana menyebabkan kematian enam individu.

SEORANG bintang YouTube ditahan selepas didakwa mengakibatkan kematian enam individu termasuk seorang kanak-kanak, dalam satu kemalangan ngeri, beberapa hari lalu.

Heisenwolf, atau nama sebenarnya Amado Amir Gonzalez, 26, yang mempunyai 1.47 juta subcribers, dipercayai menyebabkan kemalangan itu selepas kereta yang dipandunya merempuh teksi yang dinaiki kesemua mangsa.

Kemalangan maut itu berlaku di lebuh raya Pan-Amerika berhampiran Atlacomulco-Acambay, menurut media tempatan.

Pendakwa raya berkata kejadian berlaku pada 18 September, hanya tiga hari selepas YouTuber itu menyiarkan video tentang 'penjahat paling teruk di Mexico'.

Nama kesemua mangsa masih belum didedahkan, namun mereka dikatakan terdiri daripada tiga lelaki berusia 26, 35 dan 62 tahun, dua wanita berusia 30 dan 60 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur 10 tahun.

Gonzalez turut cedera dalam kemalangan tersebut dan dibawa ke hospital di mana dia masih diletakkan di dalam tahanan.

Polis telah membuka siasatan berhubung kes 'pembunuhan beramai-ramai' susulan kejadian tersebut. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI