KAPAL angkasa milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya menghentam sebuah asteroid yang terletak tujuh juta batu dari Bumi, bagi memesongkan orbitnya. Misi tersebut sekaligus menandakan kejayaan ujian bersejarah itu dalam keupayaan manusia bagi menghalang objek angkasa daripada memusnahkan kehidupan di Bumi. Misi Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) itu mengenai sasarannya iaitu batu angkasa Dimorphos, pada pukul 7.14 malam (waktu tempatan) tadi, 10 bulan selepas berlepas dari California, Amerika Syarikat dalam misi perintisnya. "Kita memulakan era baharu, satu era di mana kita berpotensi mempunyai kebolehan untuk melindungi penduduk Bumi daripada ancaman seperti impak asteroid yang berbahaya," kata Pengarah bahagian Sains Planet NASA, Lori Glaze. Dimorphos, sebuah asteroid berukuran 530 kaki (160 meter) yang hampir setanding saiznya dengan piramid Mesir, mengorbit satu lagi asteroid berukuran 804 meter, yang dipanggil Didymos. Bentuknya yang seakan-akan telur dan permukaannya yang berbukit-bukit serta berbintik batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir, ketika DART memecut ke arahnya dengan kelajuan kira-kira 14,500 batu (23,500 kilometer) sejam. Para saintis dan jurutera NASA bertepuk tangan apabila paparan skrin menunjukkan imej terakhir yang menjadi kaku, memberi petunjuk bahawa isyarat telah hilang dan pelanggaran telah berlaku. NASA menganggap eksperimen itu penting untuk dijalankan sebelum ia benar-benar perlu dilakukan. Dengan menghentam Dimorphos lebih awal, NASA berharap dapat menjadikannya orbit yang lebih kecil, sekali gus mengurangkan tempoh 10 minit untuk mengelilingi Didymos, yang kini mengambil masa selama 11 jam 55 minit. - AFP Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI