SEORANG wanita ditipu selepas seorang lelaki yang berpura-pura menjadi angkasawan Rusia meyakinkannya untuk membayar sejumlah wang selepas mereka menjalin hubungan cinta. Scammer tersebut berkenalan dengan wanita Jepun berusia 65 tahun itu menerusi Instagram pada bulan Jun dan terus memikatnya untuk menjadi kekasih hati. Malah, angkasawan palsu itu turut berjanji untuk mengahwininya tidak lama lagi. Salah satu penipuannya, lelaki itu mendakwa dia terperangkap di angkasa dan memerlukan sejumlah wang untuk mendarat kembali ke bumi. Angkasawan palsu itu mendakwa berpangkalan di Stesen Angkasa Antarabangsa dan turut berkongsi gambar suasana di angkasa lepas menerusi Instagram untuk memperdaya mangsa. Kata lelaki itu, dia perlu membayar yuran pendaratan yang mahal serta perlu membayar kos roket untuk membawanya pulang ke bumi. Terpedaya dengan helah lelaki itu, mangsa membayar bakal tunangnya kira-kira £27,000 (RM138,483) dalam lima ansuran bermula 19 Ogos hingga 5 September. Bagaimanapun, ketika lelaki itu terus menuntut lebih banyak wang tunai, mangsa mula curiga dan melaporkannya kepada polis yang kini menyiasat kes itu sebagai "penipuan percintaan". - Daily Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI