suria

Menyamar pakar sakit puan... lelaki dipenjara perdaya puluhan wanita hantar foto, video alat sulit

Seorang lelaki didapati bersalah menyamar sebagai pakar sakit puan. foto The Strait Times/ Kelvin Chng

SEORANG lelaki menyamar sebagai pakar sakit puan dan kononnya bekerja di sebuah hospital sehingga menipu berpuluh-puluh wanita dengan mendapatkan gambar kemaluan mangsa.

Lelaki yang melakukan penipuan itu menerusi laman Facebook dihukum penjara di Singapura.

Menurut laporan CNN, tertuduh, Ooi Chuen Wei, 37, dari Malaysia pada Rabu didapati bersalah kerana menipu dengan menyamar dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan empat bulan.

Tertuduh membuat akaun palsu di Facebook untuk menghubungi mangsa, meminta mereka mengisi tinjauan yang merangkumi soalan mengenai kemaluan dan kehidupan seks mereka.

Dia juga menggunakan foto seorang wanita sebagai gambar profilnya, dan menambah rakan Facebook lelaki dan perempuan.

Dilaporkan,dia turut membuat profil Instagram dan LinkedIn menggunakan nama sama untuk menjadikan akaunnya kelihatan lebih tulen.

Dia kemudian mengenal pasti mangsa wanita dan menghantar mesej memperkenalkan dirinya sebagai Dr Lee dan menawarkan untuk berkongsi pelan perubatan untuk rundingan bulanan.

Mangsa diminta menghantar video untuk membolehkannya mendiagnosis sebarang masalah kesihatan, supaya dia boleh menyediakan pelan rawatan kepada mereka.

Dalam tempoh empat tahun, tertuduh memperdaya seramai 38 wanita dan menerima hampir 1,000 gambar dan video intim.

Penipuannya terbongkar pada Julai lalu apabila seorang wanita mencurigai Ooi dan menyedari bahawa tiada doktor sedemikian, dan membuat laporan polis. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain