suria

Wanita tertinggi di dunia kali pertama naik kapal terbang, syarikat penerbangan kosongkan enam kerusi

Wanita tertinggi di dunia menaiki kapal terbang buat kali pertama.

WANITA tertinggi di dunia 'terbang' buat kali pertama menggunakan Turkish Airlines selepas syarikat penerbangan berkenaan mengosongkan enam kerusi di kelas ekonomi untuk memberi ruang kepadanya.

Rumeysa Gelgi telah muncul dalam Guiness World of Records sebagai wanita tertinggi di dunia, dengan ketinggian 7 kaki.

Wanita luar biasa ini menghidap penyakit Sindrom Weaver yang mengakibatkan tumbesaran secara ekstrem dan biasanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Dia yang berumur 25 tahun memulakan penerbangan dari Istanbul,Turki ke San Francisco, Amerika Syarikat.

Perkara tersebut berjaya dilakukan selepas syarikat penerbangan itu menukarkan enam kerusi kapal terbang kepada sebuah pengusung untuk menyokongnya.

Gelgi sempat menulis di media sosial tentang perjalanannya dan berterima kasih kepada semua yang terlibat untuk menjayakannya.

"Satu perjalanan yang lancar dari awal sehingga habis...ini adalah penerbangan saya yang pertama dan ia tidak akan menjadi yang terakhir.

"Terima kasih kepada semua orang yang terlibat untuk membantu sepanjang perjalanan saya ini," tulis Gelgi.

Gelgi yang bekerja dalam industri teknologi perisian berkata dia akan berada di Amerika Syarikat selama enam bulan untuk mengembangkan kariernya dan berkolaborasi bersama Guinness World Records. - Mirror

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain