SEORANG nelayan melalui detik yang hampir 'menggugurkan' jantungnya apabila jerung putih cuba membahamnya sebagai santapan di persisiran Afrika Selatan. Johan Potgieter terpaksa bergelut dengan jerung putih yang agresif itu menggunakan tombak dan nyaris-nyaris selamat dengan nyawanya sudah di hujung tanduk. Potgieter dan penyelam yang lain sedang menombak ikan di lautan berhampiran Cape Town apabila pemangsa yang menggerunkan itu menyerang. Momen merinding bulu roma itu berjaya dirakam kamera GoPro yang diletakkan di kepala. Dia seterusnya berenang dengan tenaganya yang masih bersisa ke arah bot. Dalam rakaman video itu, Potgieter cuba mengelak serangan jerung tersebut tetapi ia berpatah balik untuk menyerang secara bertalu-talu. Dia berjaya menakutkan jerung itu menggunakan tombak yang dibawanya untuk menombak ikan. Potgieter berenang ke permukaan untuk meminta bantuan dan memberikan amaran kepada rakan-rakannya yang lain. "Hati-hati! Ada jerung putih. "Kamu semua nampak tak. Saya hampir dimakan jerung putih. Dia berada betul-betul di sebelah saya. Sebaik saya boleh tolak dengan lembing saya," katanya bersyukur. - The Sun Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI