suria

Tak mahu zuriat lagi, ibu 3 anak tergamak bunuh bayi baru lahir... sorok mayat 2 hari di rumah

Mayat bayi ditemui dibuang di sebuah gerai. -gambar hiasan

SEORANG ibu berusia 33 tahun tergamak membunuh anak kandung yang baru lahir.

Mayat bayi itu dibuang dalam keadaan berselimut dan dibungkus dengan beg plastik sebelum dimasukkan dalam kotak kadbod.

Ia kemudian diletakkan di depan gerai di Gayungan, Surabaya di Indonesia, pada Sabtu minggu lalu.

Susulan itu,suspek ditahan pada Rabu dan kes dalam siasatan.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Gayungan Surabaya, Ipda Joko Setiyono berkata, terdapat bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika suspek membuang mayat bayinya di sebuah gerai.

Ketua Polis Daerah Gayungan, Kompol Suhartono pula berkata, faktor ekonomi dan sudah mempunyai tiga anak masih kecil menyebabkan suspek bertindak membunuh bayinya.

Menurut Kompol, suami suspek bekerja sebagai ojek (teksi motosikal) dalam talian, sehingga tidak mampu menampung kehidupan harian keluarga.

"Sebab ekonomi. Ya, dia tak nak tambah anak kerana sudah ada tiga anak yang masih kecil," katanya dipetik sebagai berkata dalam TribunJatim.com.

Suspek mengaku melahirkan bayinya seorang diri di bilik mandi di rumah sewa kira-kira pukul 9.30 malam 8 Disember lalu.

Tidak mahu membesarkan anak yang baru lahir, suspek menutup mulut dan hidung bayinya selama 10 minit, sebelum mangsa senyap dan meninggal dunia.

Suspek cuba menyembunyikan mayat anaknya di dalam bakul pakaian dan menutupnya dengan beg, selama dua hari di rumah.

Suspek juga menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan suami, dan memberi alasan badannya membesar kerana mengambil pil perancang keluarga. - Kompas

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain