suria

Keluarga cemas terperangkap! Gara-gara konflik, jiran bina tembok setinggi 2.5 meter tutup jalan

Keluarga Haryono menghantar makanan dengan memanjat tembok. foto Slamet Widodo

SATU keluarga 'terperangkap' selama kira-kira 10 jam selepas laluan keluar masuk di rumah mereka ditutup oleh jirannya.

Pembinaan tembok setinggi 2.5 meter itu dipercayai berlaku akibat konflik berlarutan antara dua keluarga berkenaan.

Kejadian pada Isnin itu berlaku di Tulungagung di Jawa Timur, Indonesia.

Pembinaan tembok itu dilakukan oleh keluarga Riyanto menghalang laluan ke rumah keluarga Haryono.

Rumah Haryono didiami oleh empat orang iaitu Haryono yang berusia 80 tahun dan isterinya, Asmunah, 62, serta anaknya, 30, dan seorang cucu cucu perempuan, 19.

ARTIKEL BERKAITAN: Berebut ruang parkir, lelaki tak puas hati bertindak lumur najis pada kereta baru jiran

Riyanto mengakui terpaksa menutup jalan masuk itu berikutan konflik dengan keluarga Haryono yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Keluarga Riyanto kecewa kerana keluarga Haryono menuduh mereka merampas tanah.

Riyanto turut mendakwa keluarga Haryono sering menghina keluarganya.

Salah seorang anak Haryono, Widiastuti berkata, pembinaan tembok tersebut menyebabkan anaknya tidak dapat pergi ke kuliah.

Widiastuti yang dibantu jiran lain terpaksa memanjat tembok tinggi untuk menghantar makanan kepada keluarganya.

Ketua kampung sering menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu tuntutan tanah bersama antara dua keluarga tersebut.

Bagaimanapun, usaha rundingan masih belum mencapai persetujuan bersama.

Pihak pentadbiran dan polis telah membuka laluan jalan untuk dilalui oleh keluarga Haryono.

Sebahagian dinding tembok kemudian dirobohkan bagi membuka semula laluan keluar masuk. - Kompas

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain