DETIK-DETIK mengerikan memaparkan seorang penjaga zoo di Andijan, Uzbekistan yang maut diserang seekor beruang coklat, menjadi tular di media sosial. Pekerja itu, yang hanya dinamakan sebagai AG, didakwa tidak mematuhi peraturan keselamatan apabila dia masuk ke dalam kandang untuk memberi makan kepada haiwan tersebut. Rakaman yang mengerikan itu menunjukkan pekerja zoo tersebut tiba-tiba menyedari beruang coklat sedang berada betul-betul di belakangnya kerana pintu pagar tidak ditutup. Dia kemudian dilihat cuba untuk berlari ke ada arah pintu bagi menyelamatkan diri, namun sempat diterkam oleh beruang berkenaan. Kelihatan haiwan pemangsa itu terus mencakar dan menjatuhkan mangsa ke lantai, sebelum menyiat dan mengoyak anggota badannya, lapor media tempatan. Rakan-rakan sekerja mangsa yang ketakutan cuba membaling papan dan batu ke arah beruang itu, namun ia hanya membuatkan beruang tersebut menarik mangsa dari pintu masuk ke kawasan terbuka kandang. Jurucakap polis di wilayah Andijan berkata: "Lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan serius di tempat kejadian." Dilaporkan, insiden mengerikan itu berlaku pada 3 Januari lalu. - Thesun.co.uk Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI