suria

Meruntun hati... 2 kanak-kanak gelandangan duduk luar kedai elektronik mahu tonton kartun, pekerja siap tolong pilihkan rancangan

Seorang pekerja kedai elektronik melayani 2 kanak-kanak gelandangan menonton kartun.

TIDAK semua insan dilahirkan dalam keluarga yang senang.

Ada keluarga yang terpaksa mencatu makanan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Lebih menyedihkan, ada juga yang terpaksa membesar di jalanan sebagai golongan gelandangan.

Disebabkan serba kekurangan, ada yang tidak pernah merasa nikmat menjamah makanan yang lazat, menonton rancangan di televisyen, memiliki pakaian yang sempurna dan sebagainya.

Sebuah video yang dikongsikan seorang pengguna di Twitter baru-baru ini begitu meruntun hati netizen apabila memaparkan dua orang kanak-kanak gelandangan duduk di luar sebuah kedai elektronik untuk menonton televisyen.

Kelihatan seorang pekerja kedai berkenaan berdiri di sisi dua kanak-kanak perempuan itu sambil memegang alat kawalan jauh, dan memilih rancangan kartun kegemaran anak kecil tersebut.

"Pekerja kedai melayani kanak-kanak gelandangan memilih rancangan yang ingin ditonton di televisyen setiap petang," demikian kapsyen yang ditulis pada video tersebut.

Menerusi ruangan komen, difahamkan video tersebut dirakam di sebuah kedai eletronik di Tamil Nadu, India.

Tindakan pekerja berkenaan mengundang pujian daripada netizen dan disifatkan memiliki hati yang tulus.

Video yang dimuat naik di akaun @kaptanhindustan pada 6 Januari lalu sehingga kini meraih lebih 367,000 jumlah tontonan, dan lebih 2,000 ulang kicau. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain