SEORANG wanita mendakwa melihat suaminya sedang menikmati makanan di sebuah restoran, walaupun lelaki itu sudahpun meninggal dunia sembilan tahun lalu. Pengguna Facebook, Lucy Watson, meninggalkan komen pada video promosi yang dimuat naik oleh restoran Spice Cottage di Westbourne, West Sussex, pada 16 Januari lalu. "Sudah berapa lama rakaman ini? Mendiang suami dan anak lelaki saya ada di dalamnya dan dia (suami) sudah meninggal dunia pada 2014," demikian komen Lucy. Pengendali akaun Facebook restoran itu dalam maklum balas terhadap pertanyaan tersebut menjawab, video berkenaan dirakam hanya seminggu sebelum ia dimuat naik. Terdahulu, restoran yang diasaskan pada 1994 itu menyiarkan video promosi dengan kapsyen yang berbunyi: "Tahun baru, suasana baru!" Namun tidak diketahui kisah seterusnya memandangkan Lucy mahupun Spice Cottage tidak menyiarkan sebarang kemas kini mengenai perkara berkenaan. Situasi tersebut meninggalkan tanda tanya dalam kalangan warga maya, malah mereka mula berkongsi pelbagai teori mengenai kejadian aneh itu. Namun ada juga yang menyifatkan ia hanyalah 'helah pengiklanan'. - Dailystar Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube