suria

Wanita tuntut pampasan... pekerja keselamatan masuk bilik hotel tengah malam nak hantar sepinggan buah

Seorang wanita menuntut pampasan dan permohonan maaf daripada hotel gara-gara tindakan seorang pengawal keselamatan. -fotoSCMP

SEORANG wanita menuntut pampasan daripada sebuah hotel selepas pengawal keselamatannya menggunakan kunci utama untuk masuk ke biliknya.

Dalam kejadian pada tengah malam, dia sedang berada di atas katil dan bilik berada dalam suasana gelap.

Menurut laporan The Beijing News pengawal tersebut masuk untuk menghidangkan buah.

Wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Ni, sedang menginap sendirian di sebuah hotel di Hohhot, utara China apabila lelaki itu masuk ke biliknya, pada 10 Januari menyebabkan dia ketakutan.

Pengawal itu meninggalkan bilik selepas masuk dan meletakkan pinggan buah.

"Kira-kira tengah malam, saya terdengar ketukan di pintu. Saya bertanya siapa dan seorang lelaki menjawab bahawa dia mahu menghidangkan buah. Saya kata 'tak mahu' sebab saya dah tidur.

“Bagaimanapun dia tetap membuka pintu dan masuk bilik saya menggunakan kad kunci. Saya sangat takut kerana bilik dah gelap. Hanya lampu bilik air yang menyala.

"Saya terus tanya apa yang dia mahu dan memberitahunya saya tak perlukan buah itu. Selepas kira-kira 20 saat, dia berjalan keluar," katanya.

buah1

Tuntutan pampasan yang dibuat seorang tetamu ditolak oleh pemilik hotel. -Gambar hiasan/Shutterstock

Ni berkata kejadian itu menyebabkan dia trauma dan menuntut permohonan maaf daripada pihak hotel serta pampasan sebanyak 20,000 yuan (RM12,527).

Pemilik hotel, Zhai, berkata kejadian pengawal masuk ke dalam bilik pada lewat malam itu adalah satu salah faham dan menolak permintaan Ni agar dibayar pampasan dan memohon maaf.

Zhai mendakwa Ni mengugut hotel atas salah faham yang berlaku dan mencadangkan dia membawa perkara ini ke mahkamah jika tidak berpuas hati.

"Lewat sikit sebab dia hantar sendiri kesemuanya di setiap tingkat," kata Zhai.

Seorang pengurus hotel yang tidak disebutkan namanya mengakui bahawa pengawal itu memilih masa yang salah untuk melakukan tugas itu.

Tetapi katanya, pengawal itu hanya masuk ke bilik selepas mengetuk pintu dan tidak menerima sebarang jawapan.

"Sudah menjadi tanggungjawab pengawal keselamatan untuk menghantar sepinggan buah-buahan selepas rakan housekeeping habis tugas.

"Apa yang dia lakukan benar-benar jadi isu. Dia mengetuk pintu selepas jam 11 malam. Tidak wajar melakukannya selepas pukul 10 malam, apatah lagi jam 11,” tambahnya. -SCMP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain