suria

Misteri hilang 3 hari akhirnya terjawab... lelaki maut akibat renjatan elektrik, tidur di sebelah telefon dicas

Lelaki ditemui mati dengan telefon sedang dicas ketika tidur. foto Viral Press

SEORANG pekerja kedai barang kemas ditemui maut oleh rakan sekerjanya, akibat terkena renjatan elektrik ketika tidur di sebelah telefon bimbitnya yang sedang dicas.

Puttawat Kamwan, 34, tidak hadir bekerja tiga hari berturut-turut, menyebabkan rakan sekerja yang bimbang memutuskan untuk melawatnya di apartmennya di Samut Prakan, Thailand.

Bagaimanapun apabila mereka masuk ke dalam bilik tidurnya, didapati mangsa sudah rebah dan mereput di atas katil dengan tangan memegang telefon bimbitnya.

Gambar-gambar dari tempat kejadian menunjukkan bilik tidur Kamwan dengan pengecas dan plag terletak di sebelah katilnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Remaja perempuan maut akibat renjatan elektrik, tertidur atas telefon bimbit dicas atas katil

Rakan sekerjanya Pantatip Kanthong, 22, berkata: "Kami bekerja di kedai barang kemas.. Dia tidak hadir selama tiga hari dan tidak menjawab telefonnya.’

"Selepas kerja, kami pergi ke biliknya tetapi kami mendapati pintunya terbuka. Kami masuk ke dalam bersama pemilik rumah dan menemuinya."

Pemilik bangunan, Nattanit Hawharn, 31, berkata, Puttawat tinggal di rumah seorang diri dan biasanya hanya bersendirian di biliknya menyebabkan dia tidak mengesaki sesuatu yang tidak kena.

Pegawai penyiasat, kapten polis Bang Phli, Pongnarin Nontanok berkata, mereka tidak menemui sebarang kesan serangan.

"Puttawat Kamwan masih terbaring di atas katilnya. Tangan kanannya turut menyentuh telefon yang sedang dicas.

"Kami tidak menemui sebarang kesan serangan. Daripada bukti yang diperoleh, dia telah mati sekurang-kurangnya selama tiga hari," katanya.

Pongnarin menambah, Puttawat mungkin terbunuh akibat litar pintas kerana tangannya terletak pada telefon yang sedang dicas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain