WANITA ini sama sekali tidak menyangka percutiannya di Thailand berakhir dengan detik malang yang tidak akan dilupakan seumur hidup. Emma Lewis, 24, dari Basingstoke, Hampshire ketika itu dalam perjalanan untuk melakukan aktiviti snorkeling di Koh Pha Ngan dengan menaiki sebuah skuter. Secara tiba-tiba dia hilang kawalan lalu merempuh tingkap kaca sebuah rumah. Rempuhan tersebut menyebabkan mukanya cedera parah kerana terkena serpihan kaca. Emma segera dikejarkan ke hospital oleh seorang pemandu teksi. Dia kemudian dipindahkan ke Hospital di Koh Samui untuk rawatan, selepas pemeriksaan perubatan mendapati dia mengalami kecederaan pada bahu kiri, paha kanan dan lutut kanan. Akibat kecederaan parah pada bahagian muka, Emma menerima 56 jahitan dan terpaksa menjalani pembedahan cantuman kulit. Kecederaan pada wajah Emma kini beransur sembuh namun parutnya masih kelihatan. Selepas melalui pengalaman ngerinya di Thailand, Emma menasihati pelancong agar menggunakan topi keledar dan mengambil insurans sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube