suria

Kasih hingga akhir hayat... Jasad bapa ditemui tak bernyawa, lindungi anak lelaki di bawah runtuhan

Seorang kanak-kanak lelaki ditemui masih bernyawa dan berada di bawah jasad bapanya.

KASIH bapa hingga ke akhir hayat.

Itulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan situasi penuh meruntun jiwa, memaparkan seorang bapa yang melindungi anaknya walau nyawa menjadi galang ganti.

Jasad si bapa ditemui tidak bernyawa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di bawah runtuhan bangunan, dalam posisi sedang melindungi seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anaknya.

Selepas pasukan SAR menarik jasad lelaki berkenaan, mereka menemui seorang kanak-kanak lelaki di bawahnya yang didapati masih bernyawa.

Selain itu, satu lagi mayat kanak-kanak berkemungkinan anak kepada lelaki tersebut yang berada di sisinya serta dikeluarkan terlebih dahulu.

Video penuh meruntun jiwa itu dikongsikan di laman Twitter seorang aktivis sosial, Mohd Ahtisham Ahsan.

Difahamkan, video tersebut dirakam di salah satu lokasi gempa bumi di Syria.

"Inilah dipanggil kasih seorang bapa. Dia sendiri terkorban tetapi melindungi anaknya sedemikian rupa. Alhamdulillah kanak-kanak tersebut selamat," demikian kapsyen yang ditulis mengiringi video tersebut.

Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa sebak dan tidak dapat menahan air mata melihat video berkenaan.

"Moga si bapa ditempatkan di dalam syurga.

"Ayah adalah pelindung. Moga dia tenang di sana. Berasa sedih dengan kanak-kanak tersebut yang kehilangan bapanya ketika masih kecil," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain