SEEKOR anjing dinobatkan sebagai anjing paling berani di dunia apabila terkorban ketika bertugas dalam usaha mencari mangsa gempa bumi di Turkiye. Anjing yang diangkat sebagai wira itu diberikan nama Proteo dan telah diterbangkan dari Mexico untuk membantu usaha menyelamat selepas dua insiden gempa bumi yang melanda Turkiye pada minggu lalu. Namun begitu, Proteo menemui ajalnya ketika sedang bertugas dalam operasi menyelamat. Anggota Tentera Darat dan Udara Mexico menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian anjing mereka, Proteo yang tidak pernah gentar berhadapan dengan segala bentuk cabaran. "Ia telah memenuhi misinya sebagai anggota Delegasi Mexico dalam mencari dan menyelamat saudara-saudara kita di Turkiye," ujar wakil ketenteraan Mexico dalam satu kenyataan. "Kami sangat berbangga dengan kamu Proteo," tambah Menteri Pertahanan Mexico. Salah seorang anggota tentera Mexico yang pernah berkhidmat bersama Proteo memberitahu dia berbangga dapat bertugas di samping anjing penyelamat itu ketika di lapangan. "Saya ingin memberitahu anda bahawa saya bangga dengan anda. Kerana sentiasa menjadi anjing yang kuat, dan tidak pernah berputus asa.” Laporan dari portal berita Turkiye memaklumkan Proteo terkorban ketika sedang cuba mencari mangsa gempa bumi yang tertimbus di bawah runtuhan. - Daily Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube