SEORANG wanita menikam bekas teman lelakinya yang sedang tidur sebanyak 19 kali dan mendakwa dia "bermimpi" ketika melakukan serangan itu. Morgan Lund, 21, dari Wisconsin, mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Isnin dan menyatakan bahawa dirinya mempunyai masalah kesihatan mental. Ketika kejadian, polis bergegas ke kediaman mereka di bandar Oshkosh dan mendapati Morgan dipenuhi darah bekas teman lelakinya. Dokumen mahkamah menyatakan: "Morgan mempunyai ingatan yang terganggu tentang sesuatu yang mungkin mimpi, atau imaginasinya, tetapi dia fikir (mangsa) menjerit kepada anak perempuan mereka." Menurut Morgan, dia melihat sosok bukan manusia yang gelap sedang menyerang bekas teman lelakinya. Tambahnya, dia sudah melihat sosok misteri yang dikatakan sebagai halusinasi itu selama enam bulan. Sebagai reaksi, Morgan "cuba membunuh" makhluk misteri itu. Dakwa Morgan, dia tidak sedar makhluk yang ditikam olehnya menggunakan gunting adalah bekas teman lelakinya yang sedang tidur. Mangsa yang cedera berjaya diselamatkan manakala Morgan diperintahkan untuk menjalani penilaian psikiatri dan kini ditahan atas pertuduhan cubaan membunuh dengan sengaja tahap pertama. - Daily Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube