PERTENGKARAN antara dua pemandu kereta yang berebut kotak parkir di sebuah tempat letak kereta, berakhir dengan insiden tembakan. Kejadian berlaku di tempat letak kereta, tingkat lima Hospital Vachira Phuket, Thailand baru-baru ini. Insiden bermula apabila salah seorang pemandu yang dikenali sebagai Thanakorn Thongek, 31 tahun, dilaporkan cuba untuk kembali ke tempat kotak parkir kosong selepas melepasinya. Bagaimanapun, sebuah kereta lain yang kebetulan menghampiri berada terlalu dekat di belakang kenderaannya. Seorang lagi pemandu yang dikenali sebagai Natthapat, memberitahu polis bahawa dia terlebih dahulu membunyikan hon untuk memberi amaran kepada Thanakorn, bahawa dia berada di belakang kenderaan lelaki tersebut. Hon kedua yang lebih panjang kemudian diberikan Natthapat sebagai tanda amaran. Natthapat berkata, dia kemudian memberikan ruang kepada Thanakorn untuk meletakkan kenderaannya di kotak parkir tersebut. Bagaimanapun sebaik sahaja memandu untuk berlalu dari situ, tiba-tiba Thanakorn keluar dari kenderaannya dengan memegang sepucuk pistol, dan melepaskan tembakan ke arah keretanya. Peluru tidak mengenai kereta Natthapat, sebaliknya mengenai kenderaan lain di tempat letak kereta itu. Polis yang dimaklumkan mengenai insiden itu segera ke lokasi kejadian dan mendapati Thanakorn masih memegang sepucuk pistol yang mengandungi 13 butir peluru. Insiden berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV). Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian tersebut. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube