suria

Tiada lagi alahan! Kanak-kanak mengandung usia 12 tahun selamat bersalin, wanita jaga sepanjang kehamilannya akui rindu

Wanita ini pernah menjaga Bunga selama beberapa bulan sebelum akhirnya diambil alih oleh pihak berwajib. Foto: TikTok @mommychutela

KISAH kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bernama Bunga pernah mencuri tumpuan warga maya di Indonesia termasuk di Malaysia selepas kisahnya yang sarat hamil dikongsikan oleh 'ibu asuhannya' di TikTok.

Dalam beberapa video yang dimuat naik di akaun @mommychutela sebelum ini, wanita tersebut berkongsi kisah Bunga yang dipeliharanya buat sementara waktu selepas menjemput kanak-kanak perempuan itu dari kampung.

Menurut wanita tersebut, dia secara sukarela mahu memelihara kanak-kanak malang itu kerana hendak memberikan penjagaan terbaik lebih-lebih lagi ketika sedang menunggu masa untuk bersalin.

Walaupun enggan memperincikan kisah di sebalik kehamilan Bunga, wanita tersebut memberi bayangan seolah-olah gadis kecil itu menjadi mangsa rogol.

Sepanjang menjaga Bunga ketika kehamilannya, wanita tersebut kerap berkongsi keadaan kanak-kanak itu yang sering mengalami alahan, muntah dan loya bahkan seolah-olah tidak mengerti perubahan yang berlaku pada fizikalnya.

Perkongsian kisah Bunga meraih sehingga melebihi enam juta jumlah tontonan lantaran kisahnya benar-benar menyentuh hati warga maya.

Dalam satu perkongsian yang dimuat naik baru-baru ini, wanita tersebut memaklumkan bahawa Bunga sudah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 17 Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak umur 12 tahun muntah-muntah sebab hamil, wanita jaga macam anak sendiri - “Dia tonton kartun macam kanak-kanak seusia”

"Semua ikut bahagia menyambut bayi kecilmu. Akhirnya, malam hari bunda bisa menjenguk. Yang penting, proses bersalin kamu sudah berlalu dan bayi perempuan cantik ini sudah bertemu dengan semua yang menolong ibu kecilnya," kongsi wanita tersebut.

Tambahnya, selepas bersalin, Bunga tidak lagi tinggal bersama dengannya dan kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan.

hamil 2

Bunga selamat melahirkan bayi perempuan ditemani kakitangan dari badan berwajib. Foto: TikTok @mommychutela

"Bunga tak bersama saya lagi. Bunga kini sudah berada di rumah aman ditemani ibunya dan dalam pengawasan pihak berwajib.

"Dalam erti kata lain, Bunga dirawat di rumah yang lokasinya tidak bisa saya kongsikan kerana itu adalah lokasi rahsia yang menempatkan orang yang bermasalah. Di situ mereka diberi perlindungan, rawatan dan sokongan.

"Ia bukan tempat yang bebas dikunjungi orang lain," katanya lagi menjawab komen warga maya yang mahu mengetahui perkembangan gadis kecil tersebut.

Wanita itu berkata, walaupun rindu kerana berjauhan, namun dia kerap menghubungi keluarga Bunga untuk bertanya khabar dan perkembangan kanak-kanak tersebut.

"Walaupun saya rindukannya sebab beberapa bulan menjaganya, tapi saya tak mahu berdegil untuk bertemu Bunga.. saya tak mahu langgar aturan. Doakan yang terbaik untuk Bunga," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain