SEORANG warga emas yang berhijrah secara haram ke Amerika Syarikat (AS) tiga dekad lalu kembali ke China untuk menuntut pemilikan sebuah rumah flat daripada isteri dan anak perempuan yang ditinggalkan. Liu Yusheng berpindah ke AS 33 tahun lalu bersama abangnya dengan harapan mereka dapat meraih kekayaan dengan mudah, lapor portal ifeng.com. Yusheng yang kini berusia 73 tahun meninggalkan isteri dan anak perempuannya yang ketika itu berusia lapan tahun di Shanghai. Sejak itu, isteri dan anak perempuannya langsung tidak berhubung dengan Yusheng. Abang Yusheng bagaimanapun kembali ke China tidak lama kemudian selepas mendapati kehidupan di AS sebagai pendatang tanpa izin adalah sukar. Tetapi Yusheng terus tinggal di negara itu dan hidup menganggur tanpa tempat tinggal selama tiga dekad. Dia hanya tidur di jalanan. Segalanya berubah pada awal tahun lalu apabila Yusheng bertemu dengan seorang wanita dari Shanghai di New York. Kerana simpati, wanita itu memperkenalkan Yusheng kepada Persatuan Rakan Shanghai di AS, dengan harapan mereka dapat membantunya. Ahli persatuan telah mengutip dana dalam talian untuk Yusheng dengan merakam videonya yang kemudian dikongsi di media sosial. Mereka juga membawanya ke rumah perlindungan dan membeli makanan untuknya. Yusheng pulang ke Shanghai dengan bantuan persatuan. -Weibo Yusheng dalam beberapa videonya yang tular berkata dia berharap keluarganya dapat memaafkan dirinya dan mendakwa dia tidak mempunyai cara untuk berhubung sejak tiba di AS kerana wang dan pasportnya dicuri. Dengan bantuan persatuan itu juga, Yusheng dapat bersatu semula dengan keluarganya di China apabila sumbangan berjumlah AS$15,000 (RM67,148) dapat dikumpul. Yusheng mendakwa dia mahu menjaga isterinya jika bertemu semula dan berjanji akan bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Pada November tahun lalu, Yusheng terbang pulang ke Shanghai tetapi pada mulanya tidak dapat mencari isteri atau anak perempuannya. Persatuan itu kemudian berjaya menjejaki isteri dan anak perempuannya tetapi mereka berdua enggan bercakap atau berjumpa dengannya. "Kamu dah lama tak balik rumah dan mengabaikan keluarga. Jadi keluarga kami juga akan anggap kamu tak wujud. Kami tak akan bersatu semula dengan kamu," kata menantu Yusheng, mewakili isteri dan ibu mentuanya kepada media. Menantunya itu menyifatkan Yusheng sebagai 'lelaki tua yang jahat'. Yusheng kemudian teringat ketika dia meninggalkan China pada 1990, institusi milik kerajaan tempat dia bekerja ketika itu memperuntukkan sebuah flat kepadanya di mana isteri dan anak perempuannya tinggal. Rumah itu dirobohkan beberapa tahun kemudian dan pihak berkuasa membayar pampasan kepada keluarganya dengan memberi sebuah sebuah flat yang lebih besar di mana isterinya masih tinggal di situ. Yusheng meminta isterinya membenarkan dia menduduki separuh daripada ruang flat itu atau membayar kepadanya separuh dari nilai pasaran. Flat itu, yang terletak di pusat bandar Shanghai, dilaporkan kini bernilai berjuta-juta yuan.. Yusheng kini mengugut mengambil tindakan undang-undang kecuali jika isterinya bersetuju dengan tuntutannya. Isterinya tidak mengulas secara terbuka mengenai ugutan ini. Yusheng sekarang tinggal di pusat perlindungan di Shanghai, menurut video yang diambil oleh sukarelawan tempatan. Malah, dia menafikan cuba merampas rumah daripada isterinya dan berkata 'tidak pernah mempunyai idea ini'. Kisah ini tular di China dengan warganet marah dan mengecam tindakan Yusheng. "Saya bengang! Saya sangat marah kepadanya sampai sesak nafas. Lelaki tua ini sangat teruk! "Tak kisah kalau nak bahagikan pemilikan rumah. Tetapi selesaikan dulu kos membesarkan anak perempuan sejak beberapa dekad lalu; kos ditambah inflasi. "Tak patut simpati dengan orang macam ni. Disebabkan rakan senegara di AS cukup baik hati untuk menghantarnya pulang, mereka harus menjaganya sehingga dia mati. Atau mari kita kumpulkan sedikit wang untuk menghantarnya pulang ke AS," demikian antara komen netizen. Seorang peguam yang berpangkalan di China, Shen Bo berkata tidak jelas sama ada perkahwinan Yusheng dengan isterinya masih sah, tetapi jika ya, Yusheng tidak dibenarkan mencuba dan menuntut pemilikan rumah itu, memetik The Post. "Sekiranya Yusheng memfailkan tuntutan cerai, kemungkinan besar mahkamah akan menganggap dia sebagai pesalah kerana meninggalkan isteri dan anak perempuannya bertahun-tahun lalu dan mahkamah akan cenderung memihak kepada kepentingan isterinya. "Dalam tuntutan mahkamah, isterinya boleh meminta pampasan kerana dia telah membesarkan anak perempuan mereka seorang diri," katanya. -SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube