KECOH mengenai seorang bomoh pengganda wang dikenali sebagai 'Mbah Slamet' yang disyaki membunuh ramai pelanggan. Kejadian yang berlaku di Banjarnegara, Indonesia menggemparkan rakyat Republik itu. Lebih mengerikan apabila jumlah mangsa kini meningkat kepada 12 orang. Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Tengah, Kombes Iqbal Alqudusy berkata, jumlah mangsa pembunuhan Mbah Slamet adalah seramai 12 orang. "Jumlah mangsa setakat ini adalah 12 orang dan masih dalam proses pengecaman," kata Iqbal, dipetik sebagai berkata dalam detikJateng, pada Selasa. Terdahulu, Mbah Slamet atau Slamet Tohari berusia 45 tahun disyaki membunuh 10 pelanggan sejak 2020, ditahan polis di Jawa Tengah, pada Sabtu lepas. Kegiatannya terbongkar apabila Polis Banjarnegara menjalankan siasatan berhubung kehilangan salah seorang mangsa yang gagal dihubungi keluarga sejak 24 Mac lepas. "Daripada pengakuan suspek juga ada 10 orang, sama dengan mayat mangsa yang kita temui. "Kegiatan ini dilakukan suspek sejak 2020. Sebab itu ada di antara mangsa yang ditemui hanya tinggal tulang," kata Ketua Polis Banjarnegara Police AKBP, Hendri Yulianto. Dilaporkan, kesemua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (RM11,822) kepada lima bilion rupiah (RM1.5 juta). Difahamkan, Mbah Slamet memperdaya mangsa menerusi promosi perkhidmatannya di laman sosial. Polis menemukan mayat mangsa akibat diracun dalam 'kubur besar' di sebuah ladang di Kampung Balun, Wanayasa di Banjarnegara. Sebagai peringatan, ini adalah perbuatan jenayah dan salah dari segi undang-undang, maka semua pihak perlu menjauhinya. - Detik Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube