BAYANGKAN, seorang gadis terpaksa menjadi pemuas nafsu abang kandungnya sendiri selama bertahun-tahun sehingga mengalami trauma yang teruk. Kes berkenaan dilaporkan berlaku di Daerah Rappocini, Kota Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Difahamkan, gadis malang yang hanya dikenali sebagai NR dan berusia 16 tahun itu dirogol abangnya, MJ, yang berusia 19 tahun sejak 2016 dan kini sedang berbadan dua. Perbuatan terkutuk si abang berlarutan sehingga Februari lalu, sebelum ia terbongkar. Segala-galanya bermula apabila ibu dan bapa kedua beradik itu hairan dan curiga apabila mangsa kelihatan muram dan berubah menjadi pendiam. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis 18 tahun jadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh bapa, 3 abang kandung Akhirnya akibat tidak tahan, mangsa nekad menceritakan apa yang berlaku kepada orang tuanya yang kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan kepada pihak polis. "Suspek (MJ) ditahan di rumahnya sejurus selepas pihak polis menerima laporan. "Buat masa ini, MJ kini masih menjalani proses pemeriksaan intensif di Ibu Pejabat Polis Makassar untuk disabitkan kesalahan atas perbuatannya itu," demikian menurut pegawai polis, Ridwan JM Hutagaol. Sementara itu, mangsa yang sedang hamil dua bulan ditempatkan di Unit Pelaksanaan Teknikal Wilayah (UPTD) Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) di Kota Makassar untuk menjalani sesi kaunseling akibat trauma. Ketua UPTD PPA Kota Makassar, Muslimin berkata, bantuan psikologi diambil bagi memulihkan trauma yang dialami mangsa berikutan peristiwa menyayat hati yang dialami sejak 2016. "Mangsa masih belum terlalu terbuka (untuk bercerita), kami akan segera melaksanakan rancangan kaunseling psikologi oleh pakar psikologi," kata Muslimin lagi. - Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube