SEORANG pegawai kerajaan di negeri Chhattisgarh bertindak 'di luar kotak' apabila mengarahkan air sebuah empangan dialir keluar bagi mendapatkan semula telefon bimbitnya yang terjatuh ketika dia merakam swafoto. Rajesh Vishwas ketika itu sedang berjalan-jalan di Empangan Kherkatta sambil mengambil gambar. Tanpa diduga, telefon bimbitnya berharga sekitar 99,077 rupee (RM5,521) terjatuh ke dalam empangan berkenaan yang berkedalaman 15 kaki. Menurut laporan, Rajesh menggunakan dua pam diesel 30hp selama tiga hari berturut-turut untuk mengalirkan dua juta liter air empangan berkenaan bagi mendapatkan telefon bimbitnya. Telefon bimbit itu berjaya ditemui semula selepas tiga hari namun ia gagal berfungsi. Rajesh berkata dia sudah memaklumkan mengenai tindakannya kepada pihak atasan dan mendapat kebenaran berbuat demikian. Dilaporkan, dia terpaksa mendapatkan telefon bimbit itu semula kerana peranti itu menyimpan data rasmi jabatannya. Rajesh digantung kerja sehingga siasatan mengenai perkara itu selesai. - India.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube