SEORANG wanita dari Muratara, Sumatera Selatan meninggal dunia ketika mahu melahirkan bayi di sebuah pusat perubatan awam, dipercayai akibat kecuaian doktor dan kakitangan di fasiliti tersebut. Difahamkan, ketika kejadian, tiga orang bidan yang bertugas disyaki melakukan kesilapan dalam mengendalikan proses bersalin wanita berkenaan. Akibat kecuaian mereka, wanita tersebut dan bayi dalam kandungannya tidak dapat diselamatkan. Kes berkenaan menjadi viral selepas suami mangsa, Lika Santosa, menulis kronologi kejadian di Facebook. Menurut Lika, sekitar pukul 10 malam pada 9 Mei lalu, dia telah membawa isterinya, Gustika yang sarat hamil ke pusat perubatan untuk bersalin. Sekitar pukul 1.30 pagi, air ketuban isterinya sudah pecah namun wanita itu masih belum bersalin. Ketika sedang menunggu sehingga wanita tersebut benar-benar mahu bersalin, Lika mendakwa bidang-bidan berkenaan sempat tidur dan isterinya dibiarkan tanpa pemantauan. Lika yang bimbang meminta petugas untuk membantu isterinya namun dia terus diminta untuk sabar menunggu. Apa yang mengejutkan, pada pukul 5 pagi, isteri Lika terpaksa dipindahkan ke pusat perubatan lain kerana mengalami komplikasi, namun setibanya di sana, wanita itu dan bayinya tidak dapat diselamatkan. Menurut Lika, dia sememangnya kecewa kerana isteri dan anaknya meninggal dunia disebabkan kecuaian pihak lain. Luahannya mendapat perhatian Ketua Daerah Muratara, H Devi Suhartoni yang memberi jaminan akan memastikan kes tersebut disiasat. -Tribunnews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube