SEORANG ibu berdepan dengan pertuduhan membunuh selepas bayi perempuannya yang berusia 16 bulan meninggal dunia, dipercayai akibat ditinggalkan sendirian selama 10 hari di rumah ketika wanita itu bercuti. Kristel Candelario, 31, dari Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat (AS), mendapati bayinya, Jailyn, tidak sedarkan di rumah mereka pada 16 Jun lalu. Kristel didakwa memberitahu penyiasat bahawa dia meninggalkan anak perempuannya di rumah bersendirian dan tanpa pengawasan ketika dia ke Michigan dan Puerto Rico, menurut afidavit itu. Setibanya di rumah selepas pulang bercuti, wanita itu mendapati anak perempuannya dalam keadaan terlalu dehidrasi. Pihak berkuasa berkata, ruangan khas tempat Jailyn bermain dipenuhi dengan selimut kotor dan lampin dipakainya penuh dengan air kencing. Jabatan Polis Cleveland memaklumkan, perkhidmatan kecemasan mengesahkan bayi itu meninggal dunia di tempat kejadian dan tiada tanda trauma yang dikesan. Jiran Kristel memberitahu akhbar tempatan, wanita itu boleh meminta bantuan mereka untuk mengawasi anaknya daripada membiarkan mangsa bersendirian untuk pergi bercuti. Ini kerana kata mereka, ia bukanlah kali pertama Kristel meninggalkan anaknya di rumah bersendirian. "Kami selalu memberitahu dia untuk tidak meninggalkan anaknya... bukan hanya saya, jiran di seberang jalan juga berkata perkara yang sama tetapi dia selalu meninggalkan anaknya bersendirian," ujar seorang jiran mangsa. Kristel ditahan polis pada 18 Jun lalu dan akan dihadapkan ke mahkamah pada 28 Jun depan. -Mirror Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!